was successfully added to your cart.

Rahsia Vision Board Berkesan Pengasas Mary Jardin Sehingga Berjaya Realisasikan Impian Menjadi Jutawan

 

maryam aziz, mary jardin, rahsia jutawan, vision board

Hari ini adalah hari pertama tahun 2018. Anda pastinya mempunyai pelbagai azam yang ingin dicapai pada 2018, sama seperti tahun- tahun sebelum ini. Jika anda seorang usahawan, pastinya anda mempunyai pelbagai impian yang ingin dicapai untuk bisnes anda. Tapi segalanya terasa seperti susah untuk dicapai dan akhirnya akan sekadar menjadi impian.

Kali ini kami ingin kongsikan satu rahsia yang anda wajib tahu untuk mencapai segala impian pada tahun 2018, tidak kira sama ada anda seorang usahawan atau tidak. Rahsia ini pernah dikongsikan oleh Dr Maryam Aziz, Pengasas Jenama Mary Jardin yang terkenal kerana berjaya menjadikan perniagaannya bernilai jutaan ringgit hanya dalam tempoh setahun berniaga.

vision board mary jardin maryam aziz

Dr Maryam Aziz mendedahkan bahawa ketika beliau mula mula berniaga pada tahun 2014, beliau menghadiri satu kelas bisnes untuk pertama kali seumur hidupnya. Di dalam kelas tersebut, beliau diajar untuk menulis impian yang ingin dicapai dan diberitahu bahawa impiannya memang akan tercapai. Pada mulanya Dr Maryam langsung tidak percaya, seolah olah tidak logik dengan hanya dengan menulis impian akan tercapai! Beliau mengabaikan perkara tersebut selama beberapa tahun sehinggalah pada satu ketika berasa betul-betul terdesak untuk merealisasikan segala impian. Dr Maryam cuba juga teknik tersebut dan sungguh terkejut dengan hasilnya! Satu persatu impiannya tercapai.

Teknik ini mudah sahaja tetapi sangat berkesan. Ia dipanggil Vision Board. Tapi bukan semua orang yang membuat Vision Board akan dapat capai impian. Ini disebabkan ada tips rahsia bagaimana untuk membuat Vision Board yang benar-benar berkesan.

Vision Board berkesan kerana ia sebenarnya adalah satu teknik visualisasi (visualization) dan melatih minda untuk percaya. Minda yang percaya akan menggerakkan segala sel dalam tubuh untuk bertindak mengikut kepercayaan ini. Jika konsep ini difahami, sangat mudah sebenarnya untuk membuat satu Vision Board yang berkesan.

Ikuti perkongsian dari Dr Maryam Aziz ini..

Bagaimana Membuat Vision Board Berkesan?

Vision Board bukanlah satu perkara yang boleh dibuat dalam tempoh beberapa minit atau jam sahaja. Anda perlu menyediakan satu masa yang lama untuk benar benar hasilkan satu Vision Board yang sangat bagus dan kena dengan jiwa anda. Memandangkan hari ini adalah  1 Januuari 2018, ini adalah waktu terbaik untuk anda bina Vision Board anda sebagai Visualization Sepanjang tahun 2018.

TIPS 1: Pilih aspek kehidupan yang anda ingin fokus untuk capai dan letakkan dalam Vision Board

Setiap orang mempunyai impian berbeza yang ingin dicapai dalam hidup. Contohnya orang yang kehidupannya sempit kewangan berimpian untuk hidup lebih mewah. Orang yang sibuk dengan kerjaya berimpian untuk lebih banyak bercuti dengan keluarga. Orang yang kaya mungkin ingin lebih banyak masa membuat aktiviti kerohanian.

Jadi senaraikan dulu apa yang ingin anda capai.

TIPS 2: Vision Board sepatutnya fokus kepada emosi dan bukan sekadar perkara fizikal

Ramai orang membuat kesilapan ini. Mereka hanya meletakkan impian fizikal di dalam vision board seperti kereta mewah, rumah besar dsb. Tidak salah untuk meletakkan impian fizikal tapi perlulah disertakan dengan perkara yang memberikan emosi. Contohnya saya meletakkan gambar kedai jenama Chanel. Bukan bermaksud saya ingin membeli barangan Chanel atau membuka outlet chanel tapi kerana setiap kali melihat gambar tersebut, semangat saya berkobar-kobar untuk menjadikan Mary Jardin satu jenama gah seperti Chanel.

Saya letakkan juga nota yang ditulis oleh anak saya mengatakan “I Love Mommy” kerana perkara ini menimbulkan satu emosi ingin berjuang dan berikan segala yang terbaik untuk anak-anak. Nota ini juga akan membangkitkan kembali semangat saya disaat saya sedih, malas, tidak bersemangat atau kecewa.

TIPS 3: Terus membuat Vision Board, jangan bertangguh!

Anda perlukan satu kadbod atau manila kad atau kertas mahjong. Cari gambar yang sesuai dan menggambarkan impian anda. Boleh cari di Google atau Pinterest dan print. Boleh juga gunting dari majalah dan surat khabar. Susun gambar-gambar tersebut di atas manila kad atau kertas mahjong tadi. Jika anda sudah berpuas hati dengan susunannya, bolehlah tampal. Pastikan ianya kelihatan cantik dan sejuk mata memandang. Jangan biarkan ia kelihatan semak kerana anda tidak mahu otak serabut. Tulis besar-besar perkataan VISION BOARD 2018.

TIPS 4: Tambah kata kata semangat di Vision Board

Gunakan kata kata affirmation atau semangat yang bersesuaian dengan impian anda. Contohnya jika kita inginkan perniagaan berjaya, tulislah “Maryam Businesswoman Paling Hebat 2018 dan mepunyai 1 Branch Office Mary Jardin di 13 Negeri dalam Malaysia dengan jualan bulanan RM 1 juta untuk setiap Branch Office”

TIPS 5 : Letak Vision Board di tempat mudah dilihat

Gantung di tempat yang mudah dilihat. Tempat terbaik adalah di bilik tidur kerana kita boleh melihatnya setiap kali bangun dari tidur dan ketika ingin tidur.

vision board berkesan

TIPS 6: Pastikan anda berdoa setiap kali melihat Vision Board selepas solat

Impian akan jadi mudah dicapai jika kita meminta bantuan dari Allah. Berdoalah bersungguh sungguh apabila melihat Vision Board ini. Untuk lebih feel dengan Vision Board anda, tataplah ia setiap kali anda solat Tahajjud. Pasti anda akan menangis kerana begitu emosi dan akan begitu bersemangat setiap hari untuk berusaha mencapainya

TIPS 7: Membaca Vision Board dengan suara lantang kepada diri sendiri setiap pagi dan malam

Teknik ini dipanggil affirmation. Kita berusaha menanam segala impian di dalam minda separa sedar agar segala tindakan kita adalah mengikut impian yang diletakkan. Jika anda percaya anda boleh membuatnya, barulah anda akan mencapainya.

TIPS 8: Membuat Vision Board bersama insan tersayang

Mengejar impian akan jadi lebih seronok jika dibuat bersama insan yang tersayang. Barulah kita boleh berlumba lumba untuk berjaya. Jika kita buat sendiri, mungkin pasangan kita akan memperlekehkan segala impian kita. Keadaan ini berbahaya kerana ia akan membuatkan minda kita percaya bahawa impian itu mustahil untuk direalisasikan. Saya suka ambil masa untuk melakar impian bersama suami. Kemudia saya akan menceritakan segala impian kepada ummi (mak saya) dan minta beliau doakan kejayaan anaknya.

TIPS 9: Berusaha tanpa henti

Membuat Vision Board sahaja tidak cukup untuk mencapai kejayaan. Kejayaan tidak akan hadir tanpa usaha. Berusahalah tanpa jemu dan berdoalah tanpa henti. Anda pasti akan berjaya mencapai segala impian 2018!

Get Free Email Updates!

Signup now and receive an email once I publish new content.

I will never give away, trade or sell your email address. You can unsubscribe at any time.

Leave a Reply